Sunday 6 July 2014

Info Zakat..


Salam Ahad semua... saya doakan anda semua sihat-sihat dalam menjalani ibadah di bulan ramadhan ini. Saya kongsikan sikit pasal zakat yang saya peroleh di email UMT, semoga bermanfaat untuk kita semua.


1. Berzakat itu di mana afdalnya? Manakah lebih utama bagi saya, iaitu apabila saya bekerja di sebuah negeri A; namun menunaikan zakat di negeri B? Ini kerana, saya negeri B itu adalah tempat kelahiran saya.

Menurut pendapat Imam As-Syafie, zakat tidak boleh dipindahkan dari sesebuah negeri (tempat harta itu diperolehi) ke negeri yang lain, selagi masih ada orang yang memerlukan di negeri berkenaan. Ini demi mengelakkan rasa sakit hati dan bersifat membelakangi keperluan saudara se-Islam di tempat sendiri. Hal ini disabitkan kepada hadis Rasulullah SAW kepada Muadz bin Jabal r.a, iaitu beliau diperintahkan untuk mengutip zakat di kalangan orang kaya di negeri Yaman dan kemudian diagihkan kembali kepada golongan fakir di negeri berkenaan.

Oleh itu, hendaklah diutamakan di tempat mana kita memperolehi harta tersebut untuk berzakat. Ini kerana, saudara telah menjalankan usaha sama ada perniagaan atau pekerjaan di negeri yang berkenaan, maka adalah lebih aula untuk mengeluarkan kembali zakat kepada penduduk yang berada di negeri yang sama. Walau bagaimanapun, ulama’ menggariskan bahawa zakat boleh dibawa keluar dari negeri berkenaan apabila keperluannya sudah melebihi atau atas sebab-sebab tertentu yang lain.

2. Seorang pelajar tadika berumur lima tahun mempunyai simpanan sebanyak RM20,000.00. Manakala seorang nenek yang sudah tua dan nyanyuk, yakni sudah lupa untuk mendirikan solat juga mempunyai banyak barangan kemas daripada emas. Adakah mereka ini wajib berzakat? Bolehkah zakat mereka diwakilkan pembayarannya?

Sesungguhnya, syarat wajib zakat itu ada lima, iaitu Islam, merdeka, sempurna milik, cukup nisab dan cukup haul. Jadi akil (berakal) dan baligh (cukup umur) bukanlah syarat wajib zakat. Maka itu, ulama menyatakan
kanak-kanak dan orang yang sudah hilang akal, sama ada kerana nyanyuk atau gila juga wajib berzakat, yakni ditunaikan oleh waris mereka. Di samping itu, jika pemilik harta tidak mampu menunaikan zakatnya, mungkin disebabkan kesibukan atau sakit, maka bolehlah dia mewakilkan orang lain untuk menunaikan zakat harta itu bagi pihak dirinya (yakni diambil daripada hartanya sendiri).

3. Saya biasanya menunaikan zakat pada bulan Disember di dalam kalendar masehi. Baru-baru ini saya disaran agar menjadikan bulan Ramadan sebagai tempoh haul (genap setahun) zakat saya, kerana ia berlandaskan tahun hijri. Apakah rasionalnya?

Sebenarnya wujud perbezaan hari dan masa di antara kalendar hijri dan masehi. Setahun kiraan hijri ialah 354 hari, 8 jam, 48 minit dan 36 saat. Manakala setahun berdasarkan tahun Masehi pula ialah 365 hari 6 jam 9 minit dan 9.5 saat. Justeru, perbezaan antara setahun Hijri dan Masehi ialah lebih kurang 11 hari atau lebih tepatnya 10 hari 21 jam dan 1 minit. Apabila menjangkau 50 tahun, bezanya ialah 1 tahun 12 hari 5.5 jam dan 3 minit.

Bayangkan apabila seseorang itu hidup selama 60 atau 70 tahun, maka dia pasti akan terkurang masa setahun atau lebih di dalam menunaikan zakatnya, dek kerana mengikut kalendar masehi.

Oleh itu, kita memang dianjurkan agar kembali menggunakan kalendar hijri, khususnya di dalam mengingati haul zakat. Ia bukan sahaja dapat memastikan zakat kita lebih tepat haulnya, malah akan mendapat pahala pula kerana mengamalkan sunnah rasul dengan mengutamakan tahun Islam di dalam kehidupan.

4. Benarkah berzakat boleh memberikan ketenteraman hati kepada kita? Ada orang memberitahu saya, andai hati tidak tenang dan bimbangkan keselamatan harta, maka itu tandanya harta yang disimpan masih bercampur dengan harta zakat.

Hakikatnya zakat itu adalah sedekah. Iaitu sedekah yang wajib. Sebenarnya, sedekah memang memberikan kesan yang signifikan di dalam kehidupan kita. Banyak kisah memaparkan kelebihan sedekah. Misalnya, pada zaman Nabi Musa a.s, ada disebutkan kisah pemuda yang dipanjangkan usia hingga menjangkau 70 tahun, berkat dia memberikan sedekah.

Itu baru sedekah sunat, apatah lagi zakat yang merupakan sedekah wajib. Di dalam sebuah hadis nabi menukilkan: “Bentengkanlah harta kamu dengan zakaT dan ubatilah penyakit kamu dengan sedekah.” (Riwayat Tabrani)

Maksud ‘benteng’ kepada harta, ialah menyelamatkan harta daripada musibah. Maka, sesiapa yang berzakat, maka mereka sudah membina benteng kepada hartanya daripada sesuatu kejadian yang tidak diingin. Ini termasuklah daripada dicuri, disamun, ditipu dan seumpamanya. Apabila ini terjadi, automatik hati kita akan menjadi tenang. Misalnya, rumah yang ditinggalkan semasa pulang ke kampung seolah-olah sudah ada yang menjaganya. Hakikatnya, ini kerana kita sudah menunaikan amanah yang Allah SWT tetapkan. Maka balasannya, Allah SWT akan memelihara diri dan harta kita, insya-Allah.

5. Sekiranya kita mahu mengubah haul (tempoh setahun) pembayaran zakat, adakah sah zakat tersebut. Ini memandangkan, saya telah disarankan oleh seorang kawan agar menjadikan bulan Ramadan sebagai haul zakat saya?

Sebenarnya, seseorang muslim bebas menentukan bilakah haul bagi dirinya berzakat. Seandainya saudara sudah biasa menunaikan zakat pada bulan Muharam, maka apabila tiba Muharam tahun hadapan, maka itu menandakan genaplah sudah setahun dan saudara wajib berzakat lagi.

Pemilihan Ramadan sebagai bulan untuk berzakat amat molek, memandangkan ia adalah bulan yang mengandungi pelbagai ganjaran pahala. Apatah lagi, ia memudahkan seseorang untuk mengingati haul zakatnya. Datang sahaja bulan Ramadan, maka mindanya automatik akan teringat kepada zakat. Sebab itulah kita digalakkan memilih Ramadan sebagai haul zakat.

Sementara itu, tidaklah menjadi kesalahan dengan mendahului haul apabila berzakat. Pada zaman dahulu, ada sahabat yang mengeluarkan zakat tamarnya sedangkan haulnya masih belum tiba dan Nabi Muhammad SAW tidak menegah akan perbuatan itu.

6. Apakah wajib seorang yang tidak siuman mengeluarkan zakat, sedangkan dia sendiri tidak mukallaf. Begitu juga, adakah seorang anak yatim wajib mengeluarkan zakat sedangkan dia masih di bawah umur 18 tahun?

Di dalam syarat wajib zakat, tidak disebutkan seseorang itu mesti berakal. Maka ulama menyatakan, seorang yang tidak siuman (gila) juga wajib menzakatkan hartanya. Begitu juga jika seorang yang begitu tua sehingga nyanyuk, maka pada masa itu kewajipan berzakat masih ada padanya.

Walau bagaimanapun, wali atau waris merekalah yang wajib mengeluarkan zakat tersebut. Yakni, menjadi wakil bagi mentaksirkan harta dan seterusnya menunaikan zakat yang wajib daripada harta mereka apabila cukup syarat-syaratnya.

Manakala bagi anak yatim, wali merekalah yang wajib menunaikan zakat bagi pihak diri mereka apabila cukup nisabnya. Umur 18 tahun tidak terbabit langsung di dalam menentukan wajib atau tidak zakat kepada seseorang.

Bahkan rasulullah pernah menegah daripada membiarkan harta anak yatim habis dimakan zakat dengan mengarahkan agar ia dikembangkan, sebagaimana sabda baginda: “Ketahuilah, sesiapa yang menjadi wali bagi anak yatim yang ada harta, hendaklah ia memperniagakannya (supaya bertambah kembang) dan janganlah ia membiarkan harta itu (berterusan susut) – dimakan oleh zakat,” (Hadis Riwayat Termizi).

7. Apakah hukumnya apabila seseorang itu sengaja menangguhkan pengeluaran zakat sedangkan dia tahu segala syaratnya sudah pun mencukupi ke atas dirinya?

Di dalam Kitab Mastika Hadis keluaran Jabatan Perdana Menteri menyatakan, adalah haram hukumnya jika sengaja melambat-lambatkan pengeluaran zakat.

Bahkan wajib hukumnya mengeluarkan zakat tersebut dengan serta merta sebaik-baik sahaja sampai waktu, melainkan ada sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dielak, maka ia diharuskan melambatkannya sehingga ia dapat membayarnya.

Ini didasarkan kepada sebuah hadis Sahih Bukhari, bahawa Rasulullah s.a.w apabila ada habuan zakat, maka baginda tidak suka melengah-lengahkan pembahagiannya walaupun hanya “satu malam” sekalipun.

Bahkan di dalam sebuah hadis riwayat Aisyah r.ha, ummul mukminin menyatakan: “Bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: “Lazimnya habuan zakat (yang tidak dikeluarkan dan dibiarkan) bercampur dengan mana-mana harta, (maka tidak memberikan kebaikan) melainkan ia akan membinasakan harta
itu.” (Riwayat Imam al-Syafi`i).

8. Saya agak terkejut apabila mendapat tahu, zakat boleh dilunaskan melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) bahkan melalui bayaran atas talian (on-line) di internet. Saya musykil akan hukumnya, kerana tiada lafaz akad dilakukan?

Sebenarnya inilah bukti Islam adalah agama yang meraikan perubahan. Inilah manifestasi fleksibeliti Islam. Inovasi dan teknologi sebenarnya membantu perlaksanaan ibadah agar menjadi lebih mudah.

Di dalam amalan berzakat, ramai juga umat Islam yang terkeliru. Adakah akad iaitu lafaz niat dan lafaz terima itu satu kewajipan?

Hakikatnya, zakat adalah ibadah wajib yang tidak mensyaratkan akad sebagai syarat sah. Ia bukanlah amalan harus, seperti pernikahan yang mewajibkan ijab dan Kabul (akad nikah). Maka, hukum akad dalam amalan zakat adalah sunat sahaja.

Zakat seseorang sah di sisi syariat apabila berlaku dua perkara, iaitu niat berzakat dan pemindahan harta zakat. Maka, apabila berzakat menerusi medium seperti di atas, niat sudah berlaku dan pemindahan pegangan harta (wang) juga telah berlaku. Maka, sahlah zakat tersebut. Wallahua’lam.

9. Semasa mengunjungi pejabat zakat, saya agak terkejut kerana dilayan oleh amil muslimah. Apakah sah zakat saya dan tidakkah ia menyanggahi sunnah rasulullah SAW?

Dari aspek hukum, sehingga kini tidak pernah lagi kita bertemu dengan mana-mana dalil sama ada al-Quran, al-hadis ataupun ijmak ulama mahu pun qiyas dan sebagainya yang menghalang perlantikan amil dari kalangan muslimah.

Mungkin teguran daripada pembayar zakat adalah didorong oleh rasa kurang kepuasan berzakat. Apabila amil seorang muslimah, maka tiada berjabat tangan semasa akad bahkan doa selepas akad dibacakan oleh seorang perempuan sedang yang membayarnya lelaki, maka lagilah hati akan terus berkata-kata.

Di dalam kitab Fiqh Az-Zakat (terjemahannya Hukum Zakat) oleh Yusuf Al-Qardhawi, halaman 545, beliau menyatakan: “Yang dimaksudkan amil zakat ialah, mereka yang melaksanakan segala kegiatan urusan zakat, mulai daripada para pengumpul, penyimpan, penjaga, pencatat, penyelenggara dan membahagikannya kepada mustahiknya (penerima zakat).”

Bahkan Al-Qardhawi turut menekankan bahawa amil hanyalah pelaksana. Oleh itu, tidak menjadi satu kesalahan kepada institusi zakat melantik amil dari kalangan muslimah. Bahkan ia adalah satu bentuk meraikan para pembayar zakat daripada kalangan muslimah sendiri yang turut datang menunaikan kewajipan mereka. Wallahua’lam.

10. Saya ada mendengar mengenai zakat galian namun kurang faham. Andai saya membuka stesen minyak petrol, adakah saya kena menunaikan zakat galian atau perniagaan?

Untuk makluman, dalam kitab fikah memang ada membahaskan zakat galian. Namun, mazhab syafiie sendiri tidaklah mewajibkan harta galian untuk dizakatkan, kecuali emas dan perak. Hanya mazhab Hanbali yang menyatakan galian seperti minyak wajib dizakatkan.

Walau bagaimanapun, apabila saudara membuka perniagaan menjual minyak petrol, maka ia tidaklah lagi tertakluk kepada zakat galian. Sebaliknya saudara tertakluk kepada zakat perniagaan atau zakat pendapatan. Wallahu’lam.

11. Apakah orang berhutang wajib membayar zakat. Ini kerana, saya pernah mendengar, orang yang berhutang tidak diwajibkan menunaikan zakat. Ini kerana, sudah menjadi satu kewajipan bagi dirinya menjelaskan hutangnya terlebih dahulu. Jadi, apakah orang yang berhutang tidak wajib berzakat?

Hutang adalah suatu yang lumrah dalam dunia hari ini. Jarang benar kita menemui orang yang tidak berhutang. Ada orang berhutang untuk belajar, berniaga, berkahwin dan pelbagai tujuan lagi. Maknanya, seandainya kita mengambil pendapat orang berhutang tidak diwajibkan berzakat, maka apa akan jadi kepada nasib umat Islam secara keseluruhannya, khususnya kepada fakir dan miskin. Ada orang yang mampu membayar ansuran rumah dan kereta ribuan ringgit setiap bulan, maka apakah alasannya untuk tidak menunaikan zakat yang mungkin berjumlah puluhan ringgit sahaja sebulan. Sebab itulah, Imam As-Syafie menyatakan: “Sesungguhnya hutang tidak menghalangi kewajipan untuk mengeluarkan zakat.” Maknanya, hutang yang dibuat oleh seseorang itu tidak boleh dijadikan alasan meninggalkan zakat, selagi mana kekayaan yang dikuasainya itu sendiri mencukupi nisabnya.

No comments:

Post a Comment